Web Rasmi Kerajaan Negeri Kedah

August 17, 2008

ADUN Bandar Baharu perkenal pusat khidmat bergerak

Oleh Izwan Abdul Halim

BANDAR BAHARU, 31 Julai : Dalam komitmen membantu penduduk di dalam kawasannya, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, YB Ustaz Yaakub Hussin tidak sahaja menyediakan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) sebagai tempat urusan, malah mengadakan Pusat Khidmat Bergerak yang menjelajah ke seluruh pelusuk DUN berkenaan.

Beliau yang ditemui pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah Bersama Pegawai-pegawai Kerajaan dan Orang Ramai Daerah Bandar Baharu di Dewan Sri Serdang di sini 31 Julai baru-baru ini menjelaskan bahawa Pusat Khidmat Bergerak itu menggunakan khidmat tiga orang pegawai khas yang bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi mengikut jadual yang telah diatur.

"Biasanya kita mulakan seawal 8.30 pagi. Sepanjang masa itu kita mengumpulkan aduan berkaitan apa sahaja. "Kemudian kita menentukan bentuk bantuan. Mana yang boleh kita terus hulurkan bantuan kita terus hulurkan," ujarnya pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk itu.

Terangnya, ada sesetengah aduan perlu disalurkan kepada pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah. Ujarnya, pada masa ini pihak beliau mengatur untuk ke semua tempat secara berperingkat-peringkat mengikut jadual.

"Sepanjang kami membuka pusat khidmat ini, perkara yang paling banyak diterima ialah berhubung permohonan perumahan. Jadi saya mengharapkan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan perkara ini. Boleh dikatakan setiap hari ada permohonan perumahan," ujarnya memaklumkan