Web Rasmi Kerajaan Negeri Kedah

August 17, 2008

ADUN Bandar Baharu perkenal pusat khidmat bergerak

Oleh Izwan Abdul Halim

BANDAR BAHARU, 31 Julai : Dalam komitmen membantu penduduk di dalam kawasannya, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, YB Ustaz Yaakub Hussin tidak sahaja menyediakan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) sebagai tempat urusan, malah mengadakan Pusat Khidmat Bergerak yang menjelajah ke seluruh pelusuk DUN berkenaan.

Beliau yang ditemui pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah Bersama Pegawai-pegawai Kerajaan dan Orang Ramai Daerah Bandar Baharu di Dewan Sri Serdang di sini 31 Julai baru-baru ini menjelaskan bahawa Pusat Khidmat Bergerak itu menggunakan khidmat tiga orang pegawai khas yang bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi mengikut jadual yang telah diatur.

"Biasanya kita mulakan seawal 8.30 pagi. Sepanjang masa itu kita mengumpulkan aduan berkaitan apa sahaja. "Kemudian kita menentukan bentuk bantuan. Mana yang boleh kita terus hulurkan bantuan kita terus hulurkan," ujarnya pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk itu.

Terangnya, ada sesetengah aduan perlu disalurkan kepada pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah. Ujarnya, pada masa ini pihak beliau mengatur untuk ke semua tempat secara berperingkat-peringkat mengikut jadual.

"Sepanjang kami membuka pusat khidmat ini, perkara yang paling banyak diterima ialah berhubung permohonan perumahan. Jadi saya mengharapkan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan perkara ini. Boleh dikatakan setiap hari ada permohonan perumahan," ujarnya memaklumkan

August 11, 2008

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.


PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain.

July 18, 2008

Kebajikan Rakyat Adalah Tangungjawab Kerajaan

YB. Ustaz Yaakub Husin

Islam melarang keras tindakan kerajaan atau pihak berkuasa mencampuri urusan kenaikan harga barangan, terutama bahan keperluan harian yang menjadi kegunaan tetap rakyat. Malah urusan itu perlu diserahkan kepada pihak-pihak yang mengendalikan keperluan berkenaan seperti syarikat atau badan-badan yang bebas daripada pengaruh anasir pihak kerajaan.

Kerajaan hanya perlu menumpukan bidang tugasnya kepada urusan pentadbiran negara/negeri dengan mengambil kira kebajikan rakyat dalam segenap aktiviti, memperbaiki sistem perundangan dengan mengelakkan daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti rasuah, nepotisme, kronisme dan sebagainya yang hanya berlegar di kalangan mereka yang terdekat, khususnya dalam pemberian tender atau projek mega.

Pihak berkuasa, pemerintah atau kerajaan hanya dibenarkan mencampuri urusan berkenaan, jika terdapat pihak tertentu yang cuba memonopoli, menyorok atau menaikkan harga barangan mengikut sesuka hati bertujuan mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung oleh pengguna, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Tanggungjawab dan peranan kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan amat perlu. Ia boleh dianggap sebagai orang tengah yang memiliki kuasa untuk membatalkan mana-mana tindakan syarikat atau badan tertentu yang sewenang-wenang bertindak membelakangkan kebajikan orang ramai.

Campur tangan kerajaan dalam situasi seumpama ini bagaikan membela rakyat dan menghilangkan rasa bebanan yang ditanggung mereka. Inilah kerajaan yang baik menurut pandangan Islam.

Sehubungan dengan usaha kerajaan di atas, seorang tokoh ulama masa kini yang cukup ternama, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas isu berkenaan menurut pandangan agama, ia disiarkan dalam laman web islamonline.net.

Beliau menegaskan, bahawa Islam memberikan kebebasan dalam perlakuan pemasaran barangan dengan norma-norma yang dilihat tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh memudaratkan sesuatu pihak, sama ada pembekal (peniaga) mahupun pengguna (pembeli).

Ia berasaskan satu riwayat di mana berlaku kenaikan harga barangan pada zaman pemerintahan baginda Rasulullah s.a.w., orang ramai menemui baginda dan berkata: Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu mengenai kenaikan harga barangan (pada barangan keperluan harian)? Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu Yang Maha Pemberi Rezeki, Maha Luas kurniaan-Nya, maka tidak ada orang yang boleh berlaku zalim (dalam urusan kenaikan harga barang) apa apa jua alasan yang melibatkan barangan atau tubuh badan.

Ia satu gambaran, di mana Islam melarang menaikkan harga sesuatu barangan hingga tidak mampu dibeli oleh pengguna atau menambahkan bebanan mereka kerana berpendapatan rendah, ia disifatkan sebagai satu tindakan zalim dilakukan oleh pihak peniaga.

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, ialah campur tangan kerajaan dalam menentukan kenaikan harga seperti bahan api kerana mahu mengaut keuntungan pihak tertentu. Pada masa sama ia mengarah peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

Bagaimana mereka tidak akan menaikkan harga, sedangkan semuanya ada kaitan dengan kenaikan harga minyak, peniaga yang menggunakan lori terpaksa bayar lebih daripada biasa untuk membeli diesel. Penyelesaiannya adalah kerajaan perlu belajar daripada hadis Nabi di atas bagi mengelak bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat.

June 18, 2008

Penyertaan qurban 2008

MAKLUMAN UNTUK HEBAHAN.

Assalamualaikum w.b.t.,

Semua Muslimin muslimat dimaklumkan penyertaan ibadah qurban pada tahun ini akan dilaksanakan seperti biasa di Markaz PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu.
Setiap penyertaan RM300.00 satu bahagian dan boleh dibayar secara ansuran mulai sekarang hingga 15 November 2008 (ikut kemampuan sehingga selesai bahagian yang dipohon)
Urusan bayaran boleh dibuat seperti berikut;

1. Terus ke akaun PAS Kawasan dan hubungi Bendahari Tuan Hj Nabil Abd Hamid 019 4524590
2. Bayaran secara ansuran, sila hubungi TYDP Sdr Hussain Saad 012 4749954 / Setiausaha Ust Mohd Halizal Allias 013 5027129 / Pen SU Mansor Abd Rahman 013 4399434 atau YB YDP Yaakub Hussin 013 4884882.

Muslimin dan muslimat yang berminat perlu mendaftar terlebih dahulu untuk tujuan tempahan lembu qurban.
Harap Maklum. Terima kasih.

June 8, 2008

PASCA-PRU KE 12.



JASA TUAN GURU HAJI HADI JANGAN DILUPAI



Kemenangan Barisan Rakyat yang kini diperkenalkan dengan nama baru iaitu "pakatan rakyat" merupakan satu kemenangan yang gemilang yang boleh dikatakan julung-julung kalinya berlaku dalam sejarah politik di Malaysia.Sebilangan penulis menyatakan, segala kemenangan ini adalah kesan dari perjuangan dan keberanian yang dilakukan oleh Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Nor dikala Anuar Ibrahim di tangkap, iaitu dengan menubuhkan GERAK ketika itu yang melahirkan PKR dan pergabungan antara parti-parti pembangkang dengan nama Barisan Alternatif. Pemergian Ustaz Dato' Fadhil Nor berjumpa dengan Allah menyebabkan ramai pejuang-pejuang islam menitiskan air mata, mengenangkan susahnya hendak mencari pengganti sehebat Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Nor ini. Pun begitu, perjuangan islam ini bukan dilihat kepada orang, tetapi dilihat kepada dasarnya menyebabkan perjuangan ini sentiasa ada pengganti.Sabda Nabi SAW- Maksudnya;"Sentiasa ada satu puak dari kalangan umatku yang mereka berjuang dan menyatakan kebenaran hingga hari kiamat" (Sahih Muslim : 225)Di hari menyembahyangkan jenazah Ustaz Dato' Fadhil Nor, aku yang hadir majlis sembahyah jenazah itu mendengar dan masih ingat lagi ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang memetik ucapan Abu bakar As-Siddiq yang berkata- Maksudnya;"Barangsiapa dikalangan kamu yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad itu sudah mati, barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup tidak akan mati" (Sahih Al-Bukhari : 1165)Ucapan Tuan Guru itu menyuntik semangat yang berkobar agar sentiasa berusaha dengan perjuangan Islam, walaupun dikala itu, Ustaz Dato' Fadhil Nor telah meninggalkan kita.



TUAN GURU DATO' SERI HAJI ABDUL HADI



Selepas Ustaz Dato' Fadhil, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi terpaksa memikul tugas sebagai pemangku presiden, merangkap pemangku Ketua Pembangkang dalam Parlimen ketika itu.Ramai orang mempertikaikan kewibawaan Tuan Guru ketika itu, ini melihat banyak kenyataan Tuan Guru yang agak keras yang menyebabkan sebilangan pejuang Islam agak tersinggung.Pun begitu, disebabkan ketiadaan tokoh yang menggantikan Ustaz Fadhil Nor, menyebabkan Tuan Guru telah dilantik menjadi Presiden PAS sehingga kini.Di awalnya, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi, tetapi apa yang dapat dilihat, keadaan itu sudah berubah. Secara peribadi, aku amat respek dengan Tuan Guru. Aku sendiri sudah beberapa kali makan sehidangan dengan tuan Guru dan dengan itu dapat merasakan betapa tingginya pekerti Tuan Guru disamping kebijaksanaan beliau dalam mengurus parti dan pemerintahan.Ramai menyatakan Tuan Guru adalah seorang yang sombong, tetapi jika mereka pernah bercakap dan berbual-bual dengan Tuan Guru, Tuan Guru merupakan seorang tokoh politik yang amat ramah dan boleh berkongsi maklumat, walaupun jika dibandingkan dengan Tuan Guru, aku ini diumpamakan budak-budak.Hari raya tahun lepas, aku pergi menziarahi tuan Guru di rumah beliau. Agak terkilan, apabila aku naik atas rumah tuan guru, yang ketika itu Tuan Guru sedang berbual dengan menantunya, Ustaz Zaharuddin Muhammad, Tuan Guru bangun berdiri dan bersalaman denganku sebagai tanda penghormatan.Inilah Presiden PAS, yang merupakan seorang yang hebat dalam politik, disamping orang yang mempunyai kehebatan dalam ilmu-ilmu Islam.



KEMENANGAN PAKATAN RAKYAT



Tidak dinafikan kekalahan teruk berlaku kepada pihak pembangkang pada pilihanraya ke 11 yang lalu. Kekalahan itu semakin menjadi-jadi apabila isu negara Islam yang dimomokkan sebagai ganas oleh UMNO menjadi bahan bukti yang kuat menyebabkan DAP keluar mengundur diri dari pakatan Barisan Alternatif ketika itu. Dalam keadaan itulah, PAS seakan-akan tertekan sedikit. Tetapi dengan kebijaksanaan Tuan Guru, semua ini dapat diselesaikan dengan jayanya.Perhimpunan BERSIH yang diideakan oleh "pakatan rakyat" telah menyebabkan rakyat semakin membuka mata. Ianya berlaku dengan hebat, ekoran kelemahan dan kezaliman yang dilakukan pihak pemerintahan Barisan Nasional telah dirasai oleh rakyat.Dengan perhimpunan BERSIH itu, rupa-rupanya telah menghampirkan balik jurang yang terpisah antara PAS dan DAP yang berpecah seketikacuma.Mengejutkan lagi, beberapa hari selepas himpunan BERSIH itu, menyebabkan berlakunya perhimpunan yang didokong oleh pihak Hindu atau dikenali sebagai Hindraf atas ketidak puas hati mereka ekoran runtuhan Kuil yang dilakukan oleh pihak Kerajaan barisan Nasional.Dengan perhimpunan itu, nampaknya UMNO semakin tertekan sehingga melobi disemua peringkat UMNO agak kononnya memperjuangkan bangsa melayu.Kebijaksanaan Tuan Guru semakin menyerlah, apabila UMNO ketika itu mendesak agar PAS menyatakan penderian mereka tentang perhimpunan Hindu ketika itu.Tuan Guru tidak terus menjawab, bahkan beliau membiarkan seketika, iaitu dikala UMNO semakin menjadi-jadi mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman bangsa yang amat ketara.Setelah api perkauman semakin menjadi-jadi membakar, Tuan Guru menyatakan bahawa, tindakan golongan hindu mengadakan himpunan itu tidak salah, tetapi yang salah apabila ada sebilangan tuntutan mereka yang agak keterlaluan.Disamping itu juga, tuan guru menyatakan bahawa, bukan kuil sahaja diruntuh di Malaysia, tetapi Masjid dan Surau juga diruntuhkan. Yang pastinya, yang meruntuhkan kuil itu adalah UMNO, sepertimana UMNO meruntuhkan Masjid dan Surau.Kenyataan tersebut telah menyebabkan keadaan politik Malaysia bergoncang, apabila ketua Hindraf menyatakan bahawa Hindraf bukan bermusuh dengan orang melayu, tetapi bermusuh dengan UMNO.Kenyataan ini terus menjadikan golongan india 80 % telah berpaling dari memberi kepercayaan kepada MIC kepada memberi kepercayaan kepada PAS, PKR dan DAP yang menyebabkan Pakatan rakyat berjaya memerintah di lima buah negeri, iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.



POLITIK TERENGGANU



Dalam jangka awalnya, antara negeri yang akan dikuasai PAS adalah negeri terengganu. Tetapi mengejutkan, Terengganu tidak jatuh, tetapi yang jatuh adalah 4 buah negeri.UMNO di terengganu agar riang dengan kemenangan, disamping Idris Jusoh agak berkeyakinan untuk meneruskan jawatan Menteri Besar di Negeri Terengganu.Kuasa Allah mengatasi perancangan manusia, menyebabkan Terengganu yang dimenangi oleh Barisan Nasional itu bergolak dikala hendak mengadakan perlantikan Menteri Besar.Sultan Terengganu dengan terang-terang tidak menerima perlantikan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar, walaupun beliau telah mendapat "watikah" dari Perdana Menteri malaysia.Tindakan sultan itu, sedikit sebanyak telah menjatuhkan "moral" Perdana Menteri yang dianggap sebagai orang yang berhak memberi nasihat kepada sultan, disamping Sultan amat relevan mendengar dan menerima nasihat beliau.Disebalik kemelut itu, pihak Sultan telah melantik Ahmad Said sebagai Menteri besar. Dengan perlantikan pihak istana terhadap Ahmad Said sebagai menteri Besar itu, menyebabkan sebilangan besar "barua-barua" idris Jusuh membantah dengan kerasnya sehingga menaikkan sepanduk yang berbau penghinaan terhadap Sultan.Dalam keadaan politik terengganu berkecamuk, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul hadi sekali lagi menunjukkan kebijaksanaannya dengan mengeluarkan kenyataan rasmi, menyokong pilihan Sultan dengan melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, walaupun Datuk Ahmad Said bukan dari orang yang bermazhab PAS. Sokongan itu telah memberi kesan besar kepada politik terengganu yang menyebabkan rakyat terengganu dapat menilai keikhlasan perjuangan yang diperjuangkan oleh PAS di Malaysia. Dengan kenyataan itulah, menyebabkan puluhan ribu rakyat terengganu telah menyambut kepulangan Sultan Mizan ketika pulang dari Kuala Lumpur ke Terengganu baru-baru ini.Secara moralnya, dengan kehadiran rakyat berpuluh ribu itu, sedikit sebanyak memberi kesan mendalam kepada Sultan yang merupakan yang dipertuan Agong malaysia pada kali ini.



PENUTUP



Jangan terlalu mengagong-agong orang yang telah pergi meninggalkan kita sehingga terlupa kepada jasa yang telah dilakukan oleh orang yang masih hidup.Tidak dinafikan, besarnya jasa yang telah dilakukan oleh Allahyarham Ustaz Dato' Fadhil Nor dalam membentuk iklim politik Malaysia, tetapi dalam masa yang sama, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi adalah tokoh yang tidak boleh diabaikan jasanya, bahkan jasanya dalam membetuk iklim Politik malaysia juga agak besar.Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam perjuangan Islam, yang dengannya dihadiahkan oleh Allah dengan syurga – Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Wallahu 'AlamSekian